FEATURES OP-EDS CONVERSATIONS VIDEOS

 

> OP-EDS



Perlukah Kepada yang Ketiga?


by Lutfi Hakim
16 March 2018

 

Apabila budaya berpolitik bertujuan meneruskan status quo, pihak baru harus hadir di dalam badan penggubalan undang-undang tersebut untuk mengimbang kembali pemikiran politik dan polisi pemerintah ke arah yang lebih saksama.

Artikel terdahulu memerhatikan kepentingan penyertaan di dalam sistem demokrasi negara, artikel sambungan ini akan melihat kepada pentingnya kepelbagaian di dalam sistem pemilihan kita. Demokrasi yang kaya dengan idea, dan disertai individu yang berbeza latar belakang dan pegangan politik, memberi kesan kepada sistem dan debat yang berlaku di Parlimen dan DUN. Kehadiran golongan ketiga yang kuat melembutkan cengkaman politik penentangan.

Di dalam sistem pemilihan pemimpin kita, parti politik memainkan peranan yang besar dan secara langsung dan tidak langsung memberi kesan kepada kualiti pemimpin yang tersedia untuk dipilih. Kelebihan pemilihan gaya ini ialah ia seharusnya memberi pengundi peluang untuk memilih dari parti-parti politik yang membawa gagasan-gagasan idea yang tersendiri. Gagasan-gagasan ini tidak semestinya bertentangan, tetapi panji parti tersebut sepatutnya memberi gambaran polisi tertentu, dan sosok-sosok yang berdiri di bawahnya turut sama perjuangkan gagasan tersebut.

Calon-calon untuk dewan-dewan perwakilan, sama ada Dewan Undangan Negeri atau Parlimen Negara, akan ditentukan oleh parti-parti politik yang akan memilih dari kalangan ahli-ahli mereka, sama ada yang berasal dari kawasan setempat, atau mengikut strategi politik pemimpin negeri dan nasional. Secara idealnya, calon yang diperhadapkan seharusnya merupakan seseorang individu yang boleh diharapkan dan memperjuangkan idea-idea parti, tetapi itu tidak selalunya berlaku kerana pelbagai faktor.

 

Jumlah undian ahli parlimen yang diperlukan untuk menggubal undang-undang di parlimen.

 

Maka dari situ kita nampak mengapa kejelasan visi calon itu penting untuk jawatan-jawatan yang berkenaan. Tidak cukup untuk seorang wakil rakyat itu sekadar seseorang yang ‘berjurus’, ‘winnable’, dan berketrampilan, tetapi dia juga perlu ada pendirian dan tujuan yang akan diterjemahkan melalui aktivitinya di dalam dewan. Parti politik seperti yang dinyatakan sebelum ini merupakan tempat terkumpulnya individu-individu yang berkongsi pendirian, maka jika calon mereka mendapat majoriti maka pendirian tersebutlah yang akan menjadi panduan memerintah. Wakil dari parti pada kebiasaannya akan dikehendaki untuk mematuhi disiplin dalaman parti seperti yang ditetapkan oleh penjawat-penjawat tertinggi di dalam proses undian untuk membentuk rang undang-undang dan pindaan perlembagaan (di Parlimen), melainkan di dalam keadaan ‘undi bebas’ yang jarang-jarang berlaku. Wakil dari parti dikehendaki mematuhi arahan dari ketua whip, walaupun ia keputusan yang mendapat tentangan dari rakyat, atau berlawanan dengan pandangan peribadi mereka.

 

Politik Pasar

Sepertimana di dalam perniagaan di mana kedai-kedai akan adakan ‘perang harga’ untuk menarik pelanggan, begitulah jua parti politik besar yang akan adakan ‘perang timbang rasa’ untuk menarik bilangan penyokong teramai. Di Malaysia, sokongan golongan Melayu secara amnya dilihat sebagai cara untuk mendapat majoriti kerusi di dewan-dewan perwakilan, maka mereka yang punya cita-cita tersebut akan tampilkan calon-calon dan idea-idea yang boleh diterima oleh kelompok terbesar Malaysia tersebut. Ini bermaksud idea-idea yang lebih mencabar akan diketepikan dan jangkaan dan permintaan mereka diketengahkan.

Kesannya, arena politik menjadi pasar, di mana peniaga-peniaga yang bergiat di dalamnya masing-masing menawarkan produk yang paling mendapat minat ramai, pada harga terendah. Masyarakat pula mula memandang diri mereka sebagai pelanggan politik, di mana penglibatan mereka terlibat kepada transaksi yang berlaku pada tarikh pilihan raya semata-mata.
Pendekatan ini mengabaikan ruang-ruang penyertaan lain yang wujud di dalam sebuah sistem politik. Demokrasi itu tidak terhad kepada penawaran dan penerimaan yang bersifat pragmatik, tetapi juga untuk usaha-usaha yang menongkah arus. Kehadiran pihak ketiga di dalam dewan-dewan menggubal undang-undang penting untuk tujuan tersebut.

 

Kalah tidak bermaksud gagal

Taktik sebegini sudah pernah dilakukan di negara-negara lain, baik yang demokrasinya lebih matang, ataupun yang baru mahu mengenakan sistem politik sedemikian. Di Ireland, misalnya, wujud kumpulan Independent Alliance yang dianggotai ahli-ahli parlimen yang bukan merupakan anggota mana-mana parti . Keanggotaan mereka di dalam perkumpulan yang tidak formal berdasarkan piagam yang menyatakan nilai dan dasar yang dipersetujui. Contohnya pembangunan luar bandar, penstrukturan semula sektor pembankan, memajukan sektor IKS negara, dan kekal di dalam EU. Walaupun calon-calon dan wakil parlimen yang memilih untuk bersama Independent Alliance merupakan wakil bebas, mereka akan menyokong usaha-usaha kerajaan yang bersesuaian dengan nilai-nilai mereka.

Pengalaman Czechoslovakia juga boleh dijadikan rujukan. Di penghujung era Soviet Union, para intelektual dan aktivis telah menubuhkan Civic Forum, untuk menjadi kolektif calon yang bertanding di dalam pilihan raya umum 1989 . Rasa sangsi masyarakat Czechoslovakia terhadap parti-parti politik mendorong mereka bergerak sebagai satu kolektif dan bukannya parti politik. Civic Forum berjaya menubuhkan pemerintahan di bawah pimpinan Vaclav Havel.
Dari segi keberkesanan, ada masanya usaha-usaha ini sangat berkesan, dan ada masanya ia tidak memberikan impak yang besar. Maklumlah pilihan untuk mengundi siapa ini dipengaruhi pelbagai faktor dan bukan sekadar calon yang tersedia. Kejayaan Civic Forum misalnya hanya fokus kepada menghentikan pimpinan satu parti di dalam suasana Revolusi Baldu, namun itu tidak dapat menghalang negara mereka daripada berpecah kepada Republik Czech dan Slovakia, dan pembubaran kolektif itu sendiri-sendiri. Namun apa yang harus ditekankan di sini ialah usaha-usaha seperti ini merupakan usaha untuk menjadi responsif kepada trend dan sentimen di kalangan pengundi.

Kekangan yang wujud di dalam sistem tidak harus dipandang sebagai halangan untuk perubahan berlaku, tetapi perlu dihadapi dengan bijak. Persepsi bahawa pilihanraya ini sebuah pertarungan, di mana yang berkuasa menang segala-galanya, haruslah diganti dengan perspektif yang ia sebuah perundingan, yang memerlukan kepada hadirnya pandangan-pandangan yang progresif dan memurnikan. Ini supaya kita tidak semata-mata menjadi debat berteraskan emosi tetapi turut dipacu akal di dalam pembentukan dasar masyarakat.

Undi, walaupun untuk calon-calon yang tidak berjaya, merupakan isyarat kepada pemerintah dan ahli-ahli politik ke arah mana angin sedang bertiup. Sekiranya mereka sewenang-wenangnya mengendahkan suara yang disampaikan, maka tidak mustahil mereka juga bakal diendahkan sebegitu rupa.

 

Lutfi Hakim merupakan penyelidik di IMAN Research. Dia suka mengikuti perbincangan-perbincangan politik tanah air dan luar negara yang terkini di media sosial.

 

 

 

Ini adalah pendapat pengarang dan tidak semestinya mewakili pandangan The Affair.


 

 

 

 

 

 

 

 

FEATURES OP-EDS CONVERSATIONS VIDEOS

 

2018  ©  The Affair • An occasional discussion on society, religion & politics