FEATURES OP-EDS CONVERSATIONS VIDEOS

 

> OP-EDS



Menuntut Kembali Makna Ramadan: Peranan Kerohanian Dalam Membangunkan Kemanusiaan

Bahagian 1


by Marwan Bukhari
8 June 2018

 

Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan demi bulan dan tahun demi tahun. Itulah kehidupan dan dunia yang sentiasa ada permulaan baharu, sekalipun di sebalik perkataan yang disebut sebagai “tamat”. Hakikatnya tiada perkataan tamat, sebaliknya yang ada ialah permulaan demi permulaan yang silih berganti tanpa henti. Bagi Muslim, salah satu tetamu istimewa yang akan sering hadir setiap tahun ialah Ramadan yang merupakan sebuah musim yang penuh dengan pengajaran dan disiplin.

Ramadan mengajar kita banyak perkara. Antaranya ialah bahawa dalam kehidupan ini harus sentiasa ada waktu tertentu untuk berhenti melakukan kebiasaan. Berhenti, lalu merenung diri dan kehidupan, melihat persekitaran, berbicara dengan diri. Bersendirian. Berhenti, untuk terus bergerak. Bergerak, dan tahu bila harus berhenti.

Ramadan mengajar kita bahawa: persekitaran cuba memberitahu kita supaya mudah emosional, tapi spiritual dan intelektual mendidik kita supaya kekal tenang; berfikir sebelum bertindak. Ini merupakan suatu yang sukar kerana memerlukan disiplin yang kuat dan latihan yang berterusan. Untuk itu, Ramadan datang sebagai sebuah kursus dan sesi latihan yang mendidik supaya kita belajar mencintai manusia, belajar memaafkan, berdamai dan mendamaikan, membantu orang yang memerlukan, belajar untuk berhenti dari kebiasaan lalu fokus hal-hal yang lebih bererti dan memberi perhatian terhadap makna diri dan kehidupan.

Perkara-perkara yang telah disebut di atas merupakan antara makna dan erti Ramadan yang harus dituntut oleh seseorang Muslim. Pada hari dan zaman di mana makna dan hikmah di sebalik Ramadan seakan-akan terpinggir jauh dari manusia moden, maka kita harus mengingatkan semua bahawa di sebalik Ramadan ada makna dan tujuan besar yang datang bersama-samanya. Makna dan tujuan itu telah dan sedang dilupakan sesetengah manusia, lalu Ramadan menjadi seperti bulan lain, bahkan lagi teruk Ramadan menjadi bulan untuk manusia lebih menuruti hawa nafsu berbanding bulan-bulan yang lain. Pertikaman lidah dan pergaduhan antara manusia seperti lebih hebat pada bulan Ramadan, konsumerisme dan berbelanja mewah menjadi-jadi, menambah bilangan golongan ditindas dan Ramadan menjadi alasan segelintir pihak untuk tidak produktif dalam aktiviti harian.

 

Makna dan Hikmah Puasa: Kepentingan Penghayatannya

Al-Sawm (puasa) yang datang serentak dengan Ramadan memberi makna amat besar apabila diteliti ertinya. Al-sawm menurut sarjana silam terkenal – al-Raghib al-Asfahani (meninggal 502 H) – pada asalnya ialah “menahan dari perbuatan; sama ada makan, bercakap atau berjalan. Untuk itu, kuda yang ditahan daripada berjalan, atau makan disebut sebagai sa-im (yang menahan diri).” Menurut erti itu, puasa bukan sekadar untuk berhenti makan minum sebagaimana dianggap sebahagian pihak, bahkan melampaui itu, puasa dalam erti fiqh al-batin, iaitu menahan diri dari segala keburukan seperti bercakap menggunakan bahasa yang kesat, mencela, memukul manusia, dan seterusnya mengganti lalu menghias diri dengan perlakuan-perlakuan baik seperti memaafkan, mendamaikan, bercakap hal-hal yang baik atau diam, membantu manusia dan sebagainya.

Berdasarkan perkara tersebut, kita dapat faham bahawa puasa dan Ramadan membawa mesej penting iaitu bahawa persoalan etika dan moral merupakan suatu yang tetap dan tidak tertakluk pada zaman dan masa tertentu semata-mata. Lebih dari itu, jika kita ingin melihat kebaikan dan perubahan pada persekitaran dan dalam masyarakat, kita mesti terlebih dahulu menjadi dan mengamalkan kebaikan dan perubahan yang diimpikan.

Persoalan mencari makna dan hikmah di sebalik sesuatu amalan bukanlah suatu yang asing, malahan dalam beberapa tempat dalam al-Quran dan al-Hadis, hikmah dan erti disebut secara langsung dalam kedua-dua teks tertinggi Islam itu. Sebagai contoh, semasa memerintahkan manusia untuk menunaikan solat, al-Quran menjelaskan antara tujuannya ialah mencegah pelakunya dari perbuatan keji dan mungkar. Tujuan lebih besar solat ialah untuk mengingati Allah. Firman-Nya:

“… sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) …”

Firman-Nya lagi yang mengukuhkan bahawa tujuan besar solat ialah untuk mengingati Allah:

“… dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.”

Begitu juga dalam amalan ibadat yang lain seperti puasa. Oleh sebab itu, semasa memerintahkan puasa pula, al-Quran menyebut bahawa tujuannya supaya orang-orang yang berpuasa itu bertakwa kepada Allah SWT. Firman-Nya:

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (al-Baqarah: 183)

Firman-Nya juga:

“… dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.” (al-Baqarah: 184)

Dalam Bidayah al-Hidayah, semasa membahaskan bab Aadab al-Siyam (adab-adab berpuasa), al-Ghazali menyatakan:

“Dan janganlah kamu menyangka apabila kamu telah berpuasa bahawa puasa itu hanyalah meninggalkan makan, minum dan tempat tidur (bermaksud: jimak antara suami isteri) sahaja, telah berkata Rasulullah SAW: betapa ada orang yang berpuasa, tiada baginya apa-apa dari puasanya kecuali lapar dan dahaga.

Malahan penyempurna puasa itu ialah: dengan menahan anggota-anggota seluruhnya dari apa yang Allah ta’ala benci, bahkan kamu hendaklah memelihara mata daripada memandang perkara-perkara yang dibenci, (memelihara) lisan dari menyebut dengan apa yang tak memberi erti kepadamu dan (memelihara) telinga dari mendengar apa yang Allah ta’ala haramkan, sesungguhnya orang yang mendengar merupakan rakan kongsi kepada orang yang berkata, ia merupakan salah seorang dari orang yang mengumpat. Demikianlah kamu menahan seluruh anggota sepertimana kamu menahan perut dan kemaluan!”

Al-‘Izz Ibn Abdil Salam pula menegaskan bahawa:

“Terdapat faedah-faedah pada ibadah puasa. Antaranya ialah: mengangkat kedudukan di sisi Tuhan, mengampunkan kesalahan, mematahkan nafsu syahwat, memperbanyak sedekah, memperbanyak amalan-amalan ketaatan, bersyukur kepada Allah Yang Maha Mengetahui segala yang tersembunyi dan menghalang dari lintasan fikiran untuk membuat maksiat dan perkara yang bertentangan dengan arahan Tuhan.”

Al-Ghazali dan al-Izz merupakan antara sebilangan ilmuwan silam yang berbicara dengan tuntas berkenaan persoalan makna di sebalik amalan ibadat, atau lebih khusus dalam tulisan ini sebagai tujuan dan erti di sebalik sesuatu perkara dan perbuatan. Perkara “rahsia” dan “apa di sebalik apa” juga merupakan antara mesej penting yang dinyatakan langsung dalam wahyu, contohnya dalam beberapa ayat al-Quran yang menyebut langsung tentang Ramadan dan puasa.

Selain itu, saya melihat sepatutnya antara yang menjadi makna Ramadan juga ialah mengukuhkan kefahaman tentang kandungan al-Quran. Sebahagian Muslim hanya melihat Ramadan dan “kuantiti” bacaan al-Quran, mereka tidak melihat “kualiti” kefahaman terhadap al-Quran. Ramadan ialah bulan diturunkan al-Quran; baca dan tadabbur al-Quran. Al-Quran merupakan kisah cinta dan kemanusiaan. Antara kehebatan al-Quran ialah kesetiaannya dalam persahabatan, lalu orang yang lazim membacanya akan resah, gelisah dan seperti ada yang tak kena jika dalam satu hari belum membaca dan menghayati al-Quran. Demikian juga antara kehebatannya ialah setiap kali kita mentadabbur ayat-ayatnya, kita sentiasa menemui sesuatu yang baharu sebagai panduan. Al-Quran mengajar kita supaya memikul doa-doa kemanusiaan kita ke ruang-ruang sosial, demi mengubat derita insan.

 

Takwa dan Krisis Kerohanian

Al-Quran mendengungkan kenyataan yang terang dan jelas mengenai apa yang dimahukan menerusi Ramadan dan puasa. Antaranya ayat 2: 138 yang bererti:

“Wahai orang-orang yang beriman, ditulis ke atas mu kewajipan berpuasa sebagaimana ditulis ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

Filosof al-Quran, Muhammad Abdullah Diraz (meninggal 1958 M) menyebut dalam tulisannya bertajuk al-Sawm: Tarbiyah wa Jihad bahawa ayat tersebut tidak menyebut “supaya kamu sakit” (melihat kepada sesetengah tradisi beragama yang mengaitkan pengalaman kerohanian dengan menyakiti diri sendiri), “supaya kamu sihat” atau “supaya kamu bersederhana (sekalipun kesihatan dan bersederhana itu antara hikmah daripada amalan puasa)”. Sebaliknya Tuhan “menjadikan puasa sebagai pengalaman kerohanian dan akhlak. Selain itu, tuhan mahu puasa menjadi jalan untuk mencapai sifat-sifat golongan bertakwa, dan menjadi alat untuk memperoleh ketakwaan.”

Menurut perspektif Islam, takwa merupakan pencapaian tertinggi dalam dunia kerohanian, bahkan dunia kemanusiaan. Oleh yang demikian kita melihat, al-Quran (dan juga beberapa hadis) menyebut bahawa kemuliaan manusia itu diukur berdasarkan ketakwaan (49:13). Ayat dalam surah 49 (al-Hujarat) itu sebahagian besarnya merupakan perbahasan tentang etika-etika sosial seperti larangan mengumpat, larangan bersangka buruk, larangan menyebarkan berita tanpa kritikal dan soal selidik, larangan memandang rendah kepada manusia lain, larangan dari menumpahkan darah dan kewajipan memelihara persaudaraan, selain surah itu didahului dengan arahan supaya beradab dengan Rasulullah SAW. Ini merupakan suatu perbahasan tentang “memanusiakan manusia” dan persoalan yang amat mendalam adalah apabila kita bertanya tentang kualiti kerohanian diri kita, maka itu bererti kita bertanya tentang sejauh mana hubungan kita dengan manusia.

Takwa juga merupakan sebuah konsep yang praktikal dan bukan sekadar tentang sebuah kelazatan kerohanian. Oleh sebab itu, dalam surah al-Maidah, ayat 8 menyebut:

“Berlaku adillah, karena perbuatan adil itu lebih dekat kepada taqwa.”

Oleh yang demikian, boleh dinyatakan bahawa menurut kerangka Islam, persoalan ketakwaan yang merupakan asas terpenting dalam mengukur pencapaian kerohanian seseorang terletak pada sejauh mana kesan baiknya dalam kehidupan keduniaan. Hal ini berbeza dengan ukuran kerohanian yang wujud pada hari ini seperti pengalaman dan perjalanan kerohanian lebih dikaitkan dengan pengasingan diri dari masyarakat dan persekitaran. Bertanya tentang kualiti ketakwaan ialah bertanya tentang sejauh mana kita membantu orang yang miskin dan memerlukan. Konsep pengasingan diri secara total tiada dalam konsep kerohanian Islam, adapun memperuntukan masa menyendiri, ia punya hubungan amat erat dengan kerohanian; iaitu waktu berhenti dari kebiasaan, merenung kehidupan dan sentiasa menghitung kekurangan diri untuk dibaiki. Sebagai contoh, solat dan galakan untuk berzikir yang punya asasnya dalam tradisi Islam.

Disebabkan itu, kita mendapati ukuran keimanan dan kekuatan kerohanian menurut kerangka Islam berkait dengan sejauh mana kualiti interaksinya dalam kehidupan. Ayat al-Quran dan hadis bertalu-talu mengingatkan soal kehidupan sebagai bumi ujian, justeru untuk hidup ialah untuk bersedia dan proaktif mendepani pelbagai cabaran dan ujian. Oleh itu, persoalan ukuran keimanan bukan sekadar berdasarkan keilmuan seseorang, tetapi sejauh mana kekuatannya untuk terus berdaya saing dalam menjadi baik dan berbuat baik dalam kehidupan.

Satu lagi persoalan kerohanian yang sentiasa timbul ialah hubungan antara kerohanian dan disiplin diri. Suatu yang wujud dalam pelbagai tradisi agama ialah persoalan ‘menguasai diri’, “sesiapa yang berjaya menguasai dirinya, dia akan berjaya.” Puasa (dan amalan-amalan ibadat yang lain) juga membawa mesej disiplin tersebut; disiplin dengan Tuhan, disiplin dengan masa, disiplin dengan pekerjaan dan sebagainya.

 

Marwan Bukhari A Hamid, penulis dan penterjemah.

 

 

 

Ini adalah pendapat pengarang dan tidak semestinya mewakili pandangan The Affair.


 

 

 

 

 

 

 

 

FEATURES OP-EDS CONVERSATIONS VIDEOS

 

2017  ©  The Affair • An occasional discussion on society, religion & politics