FEATURES OP-EDS CONVERSATIONS VIDEOS

 

> OP-EDS



Golput Malaysia


by Afiq Mohd Noor
15 February 2018

 

Orang bercakap tentang pilihanraya di mana-mana. Di pusat membeli-belah, warong kopi, pejabat, masjid dan tandas-tandas awam. Rakyat terbanyak mula menimbang siapa yang patut kita pangkah – Barisan Nasional, PAS atau Pakatan Harapan? Namun yang paling menarik pada pilihanraya kali ini Malaysia menyaksikan suara-suara muda yang kecewa dengan pilihan sedia ada dan berkempen untuk merosakkan undi. Tagar undi rosak membanjiri media-media sosial. Di sana-sini orang mula bercakap tentang undi rosak. Persoalannya, kenapa undi rosak?

Di Indonesia, pengundi yang tidak berhasrat untuk mengundi lebih popular digelar ‘golput’ atau golongan putih. Presiden Abdul Rahman Wahid atau lebih mesra disapa Gus Dur adalah salah seorang yang menyatakan piihan peribadinya untuk golput sewaktu pemilihan presiden dan timbalan presiden pada pilihanraya umum 20 September 2004. Pendirian tersebut diambil Gus Dur untuk menzahirkan protes dan ketidakpuasan hati terhadap tindakan Komisi Pemilihan Umum (KPU) yang didakwa melanggar undang-undang negara dan tiada tindakan undang-undang yang diambil oleh badan-badan pentadbir perundangan seperti Mahkamah Konstitusi dan Mahkamah Agung terhadap pelanggaran undang-undang tersebut. Disebabkan marahnya Gus Dur, beliau melabelkan badan-badan yang bertanggungjawab mentadbir undang-undang itu sebagai ‘mafia peradilan’.

Secara peribadi, saya bukanlah penyokong gerakan golput di Malaysia dan sudah pastilah saya akan mengundi sewaktu pilihanraya umum akan datang. Tetapi sebagai seorang warganegara Malaysia yang beriman bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang dasar negara, saya percaya rakan-rakan yang memilih untuk golput berhak dan bebas berbuat sedemikian. Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan memberikan kebebasan kepada setiap warganegara untuk berekspresi dan berpendapat. Tidak ada apa-apa yang dapat menghalang golput dari menyuarakan hak mereka kecuali sekiranya Parlimen menggubal satu undang-undang menurut Perkara 10 (2) Perlembagaan Persekutuan yang mewajibkan warganegara Malaysia yang berusia dua puluh satu tahun untuk mengundi dan menjadi kesalahan di bawah undang-undang persekutuan sekiranya seorang warganegara tidak mengundi atau ‘menghasut’ orang ramai untuk tidak mengundi.

Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan memberikan hak kepada setiap warganegara Malaysia yang telah berumur dua puluh satu tahun dan berdaftar untuk mengundi di dalam mana-mana pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Rakyat (Parlimen) di kawasan yang mana dia bermastautin. Di dalam kes Yazid Sufaat & Ors melawan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia [2009] 3 CLJ 633, Hakim Mahkamah Rayuan Low Hop Bing menyatakan bahawa seorang pengundi mempunyai hak pada hari pengundian samada untuk mengundi secara sukarela atau memilih untuk tidak mengundi. Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang pilihanraya tidak mewajibkan atau menghukum pengundi-pengundi berdaftar yang memilih untuk tidak mengundi pada hari pengundian. Suruhanjaya Pilihanraya tidak mempunyai tanggungjawab atau kuasa untuk memaksa seorang pengundi berdaftar untuk mengundi pada hari pengundian.

 

Golput & Institusi Agama

Libang-libu golput ini bukan sahaja menarik perhatian para politikus, penganalisis politik rasmi dan tidak rasmi, ia juga turut menarik perhatian para agamawan. Di Indonesia misalnya, Majlis Ulama Indonesia (MUI) yang bermesyuarat di Padangpanjang pada 26 Januari 2009, Sumatera Barat memfatwakan bahawa umat Islam di Indonesia wajib memilih pemimpin yang beriman, bertaqwa, jujur, terpercaya, aktif, partisipatif dan memperjuangkan kepentingan umat. Memilih pempimpin yang tidak mempunyai ciri-ciri yang disebutkan atau tidak memilih sama sekali walaupun terdapat calon-calon yang memenuhi kriteria tersebut haram hukumnya.

Setarikan nafas yang sama, Mufti Wilayah Persekutuan melalui Bayyan Linnas siri ke-126 bertarikh 12 Februari 2018 menyatakan kecenderungan beliau untuk mengharamkan perbuatan merosakkan undi dan haram pada pandangan syarak bagi setiap warganegara yang beragama Islam untuk tidak mendaftarkan diri sebagai pengundi dan menjadi golput. Sudah tentu pandangan beliau mengundang kritik dan pujian dari orang ramai.

Saya tidak berhasrat membedah fatwa Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan dalam tulisan kali ini, walaupun saya merasakan ada beberapa isi penting yang boleh diwacanakan khususnya bagaimana kita bermuamalah dengan demokrasi. Demokrasi punya spektrum yang luas bukan hanya hitam dan putih. Namun menurut saya mengatasnamakan Tuhan demi memaksakan satu pendapat adalah tindakan yang sangat tidak wajar. Menjadi golput bukanlah delik kejahatan atau pelanggaran hukum, syariat dan demokrasi.

Ahmad Syafii Maarif, mantan Ketua Umum PP Muhamadiyah sewaktu ditanya oleh akhbar Kompas bersabit Fatwa MUI yang mengharamkan golput menyatakan – “Diimbau sajalah, jangan pakai aturan halal-haram. Kalau sudah pakai halal-haram sudah enggak bener itu, MUI jangan over-lah...,"

 

Afiq Mohd Noor merupakan penyelidik di IMAN Research. Dia sering mengikuti wacana politik tanah air di media sosial.

 

 

 

Ini adalah pendapat pengarang dan tidak semestinya mewakili pandangan The Affair.


 

 

 

 

 

 

 

 

FEATURES OP-EDS CONVERSATIONS VIDEOS

 

2017  ©  The Affair • An occasional discussion on society, religion & politics