FEATURES OP-EDS CONVERSATIONS VIDEOS

 

OP-EDS



Deklarasi Kuala Lumpur dan “Hak Kepada Bandar”


by Badrul Hisham Ismail
22 February 2018

 

Pada 7 ke 13 Februari yang lalu, Kuala Lumpur dengan gayanya telah menjadi tuan rumah kepada World Urban Forum (WUF) ke-9. Forum yang diadakan oleh UN-Habitat ini adalah satu perjumpaan global di antara penggubal dasar, pemimpin kerajaan tempatan, badan-badan bukan kerajaan serta para pakar daripada bidang pembangunan bandar dan penempatan manusia, untuk berbincang tentang perkara-perkara berkaitan dengan urbanisasi dan pembangunan mampan. WUF9 bertemakan “Bandaraya 2030, Bandaraya untuk Semua: Melaksanakan Agenda Perbandaran Baharu”, dan menitik beratkan Agenda Perbandaran Baharu sebagai satu alat dan langkah yang penting dalam mencapai matlamat pembangunan mampan. Hasil perbincangan di antara semua pihak berkepentingan yang hadir pada WUF9, sebuah deklarasi yang digelar Deklarasi Kuala Lumpur telah termeterai, sebagai bukti komitmen mereka ke atas perlaksanaan Agenda Perbandaran Baharu tersebut. Secara langsung, deklarasi ini akan memberi impak kepada penduduk Kuala Lumpur serta bandar-bandar lain di Malaysia, dan boleh membuka ruang-ruang pendemokrasian yang harus dimanfaatkan para aktivis dan rakyat Malaysia.

 

Deklarasi Kuala Lumpur dan Agenda Perbandaran Baharu

Seperti yang disebut di atas, deklarasi yang disediakan oleh peserta WUF9 yang terdiri oleh pihak kerajaan dari pelbagai negara, badan-badan bukan kerajaan, warga tua, wanita, anak muda, golongan berlainan upaya, sektor swasta, golongan akademia, organisasi-organisasi internasional dan regional, serta pihak-pihak berkepentingan yang lain, menunjukkan komitmen mereka semua untuk melokalisasikan dan mempercepat perlaksanaan Agenda Perbandaran Baharu sebagai pemangkin untuk mencapai pembangunan mampan. Komitmen ini secara terang-terangan tertera di dalam deklarasi tersebut, di mana peserta WUF9 sebulat suara “menggalakkan perumusan rangka kerja perlaksanaan Agenda Perbandaran Baharu pada setiap peringkat.”

Agenda tersebut merupakan dokumen yang terhasil daripada persidangan Habitat III yang berlangsung di Quito pada tahun 2016. Dokumen ini adalah hasil daripada perundingan 197 buah negara di dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang bertujuan untuk memberi garis panduan yang menjodohkan proses perbandaran dengan pembangunan mampan. Di Malaysia, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar, sewaktu melancarkan dokumen ini di Kuala Lumpur, berkata “Agenda ini menawarkan satu anjakan paradigma dalam cara kita berfikir, membina dan mewujudkan rantaian rakan pembangunan dalam menguruskan bandar- bandar pada masa akan datang secara holistik dan mampan. Dokumen Agenda Perbandaran Baharu ini berbentuk kenyataan politik yang akan mencorakkan hala tuju berkait dengan kemampanan bandar dengan menjadikannya lebih inklusif, selamat, berdaya tahan dan sejahtera.”

Selain itu, agenda yang mendapat sokongan penuh daripada Deklarasi Kuala Lumpur ini juga menitik beratkan perkembangan demokrasi dan pemeliharaan hak asasi manusia sebagai aspek penting dalam mencapai pembangunan mampan. Perkara yang paling menarik perhatian di dalam agenda ini adalah perkara 11 yang merujuk kepada berikut:
“Kami berkongsi wawasan bandar untuk semua, merujuk kepada penggunaan dan keceriaan bandar dan penempatan manusia yang sama, yang cuba menggalakkan keterangkuman dan memastikan semua penduduk, generasi masa kini dan masa depan, tanpa sebarang bentuk diskriminasi, dapat mendiami dan menghasilkan bandar dan penempatan manusia yang adil, selamat, sihat, boleh diakses, berpatutan, berdaya tahan, dan mampan, untuk memupuk kemakmuran dan kualiti hidup untuk semua. Kami perhatikan usaha beberapa negara dan kerajaan tempatan untuk menyemadikan wawasan ini, yang dirujuk sebagai hak kepada bandar, dalam perundangan, perisytiharan politik dan piagam mereka.”

 

Hak Kepada Bandar

Penting untuk kita melihat dengan lebih terperinci apa yang dimaksudkan dengan hak kepada bandar serta implikasinya ke atas penduduk. Konsep yang digubah oleh Henri Lefebvre, seorang ahli falsafah dari Perancis ini bermaksud “tuntutan terhadap transformasi dan pembaharuan akses kepada kehidupan bandar.” Konsep ini diperincikan lagi pula oleh David Harvey, professor ulung dari City University of New York, yang mengulas “Hak kepada bandar adalah lebih daripada sekadar kebebasan individu untuk mendapat akses kepada sumber-sumber di bandar: ianya adalah hak untuk mengubah diri dengan mengubah bandar. Ianya bukan sekadar hak individu tetapi merupakan hak rakyat bersama kerana transformasi ini tertakluk kepada kuasa kolektif untuk membentuk semula proses urbanisasi.”

Menurut Harvey, kebebasan penduduk bandar untuk melakukan perubahan positif ke atas bandar yang didiami mereka merupakan hak asasi yang sangat penting. Penduduk bandar berhak mendapat kuasa untuk membentuk proses perbandaran, melalui proses-proses demokrasi yang bergariskan keserataan dan hak asasi manusia. Hak-hak ini juga yang telah diiktiraf oleh 197 buah negara melalui Agenda Perbandaran Baharu, termasuklah Malaysia.

Harvey, Agenda Perbandaran Baharu, dan Deklarasi Kuala Lumpur mengiktiraf betapa pentingnya peranan kerajaan demokratik dalam mewujudkan bandar yang berfungsi penuh dan mampan, dan melalui konsep hak kepada bandar, semuanya juga mengiktiraf hak penglibatan penduduk bandar dalam memastikan proses ini berlangsung dengan adil dan saksama. Persoalannya, bagaimana caranya untuk penduduk bandar menggunakan hak ini?

Terdapat banyak cara untuk melibatkan warga kota dalam proses pembangunan bandar, samada daripada sudut penggubalan dasar nasional, atau juga daripada intervensi-intervensi peringkat komuniti. Antara pendekatan yang sedang sohor kini di banyak kota adalah melalui participatory planning atau perancangan bersama. Ada juga yang melalui aktivisme seperti pergerakan penduduk di Greenwich Village, NY yang membantah pembangunan lebuhraya yang direncana memotong masuk kawasan perumahan mereka. Seperti di Kuala Lumpur pula, usaha-usaha daripada Think City untuk memberi nafas baru kepada bandar KL dengan mendanai program-program yang diajukan oleh warga KL merupakan satu langkah positif dalam memberikan hak penduduk kepada bandar.

Walau bagaimanapun, satu aspek yang sangat penting dalam hak kepada bandar, yang tidak dimiliki oleh warga Kuala Lumpur, adalah hak untuk memilih pemimpin yang mengurus dan mentadbir bandar ini. Jika kita lihat semula, antara perkara yang dimaksudkan oleh hak kepada bandar adalah hak kepada penduduk untuk mengubah bandar, serta hak untuk membentuk proses perbandaran. Sudah tentu, ciri utama dalam merealisasikan hak ini adalah dengan memberi hak kepada penduduk bandar untuk memilih siapa yang akan menjadi pemimpin mereka. Dan sudah tentu juga, satu-satunya cara untuk memberi hak memilih ini kepada penduduk bandar, adalah dengan menjalankan pilihan raya kerajaan tempatan.

 

Pilihan Raya Kerajaan Tempatan

Pilihan raya kerajaan tempatan bukanlah suatu bendasing dalam sejarah Malaysia. Sebelum merdeka, Tanah Melayu pada ketika itu telah menjalankan pilihan raya ini di Pulau Pinang pada tahun 1951 dan Kuala Lumpur pada tahun 1952. Kedua-dua pilihan raya ini dijalankan untuk memilih ahli-ahli Majlis Perbandaran di kedua-dua bandar tersebut. Pilihan raya ini kemudian diteruskan di negeri-negeri lain sehingga tahun 1964, di mana ianya tidak lagi dijalankan atas sebab-sebab tertentu.

Menyentuh sedikit tentang pemberhentian pilihan raya kerajaan tempatan, antara alasan yang diberikan oleh kerajaan persekutuan adalah dengan membuat perlantikan ahli majlis secara langsung, pengurusan negara dapat dilakukan dengan lebih lancar kerana tidak akan wujud ketidak sefahaman antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan tempatan. Dalam erti kata lain, pihak kerajaan persekutuan lebih mementingkan ahli majlis yang akan menjalankan agenda kerajaan persekutuan berbanding ahli majlis yang memperjuang kehendak penduduk tempatan. Dari sudut pandangan pemimpin politik barisan pembangkang pula, pilihan raya kerajaan tempatan juga boleh menggugat kedudukan dan mengganggu agenda mereka di peringkat negeri, khususnya di negeri-negeri di bawah pimpinan mereka di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan. Oleh kerana itu, walaupun ada sedikit usaha dan gesaan untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan oleh pemimpin politik pembangkang, ianya masih dielak daripada dilaksanakan oleh pemimpin politik di segenap pihak.

Akan tetapi, dengan pengiktirafan kerajaan Malaysia ke atas Agenda Perbandaran Baharu ini, serta pemeteraian Deklarasi Kuala Lumpur yang juga disokong oleh pihak-pihak antarabangsa, usaha ini harus diberi nafas baru dan disokong penuh oleh pemimpin-pemimpin politik di seluruh negara. Pentingnya untuk diadakan semula pilihan raya ini adalah kerana ianya merupakan satu kegiatan yang secara langsung dapat melibatkan penduduk bandar dalam pembentukan dan pembangunan bandar yang didiami mereka. Seperti pilihan raya umum, kegiatan ini juga dapat memastikan pemantauan ke atas siapa dan bagaimana bandar itu ditadbir, sambil menjamin ketelusan dan kesaksamaan. Ianya sejajar dengan aspirasi Agenda Perbandaran Baharu, seperti yang dinyatakan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan sendiri, “akan mencorakkan hala tuju berkait dengan kemampanan bandar dengan menjadikannya lebih inklusif, selamat, berdaya tahan dan sejahtera.”

Dengan mengadakan semula pilihan raya kerajaan tempatan, bukan sahaja ruang-ruang pendemokrasian akan terbuka. Selain daripada mewujudkan suatu persekitaran yang sihat dan mampan untuk penduduk bandar dalam menjalankan kehidupan seharian sebagai warga kota, ianya juga akan menjadi satu simbol komitmen kerajaan Malaysia ke atas Agenda Perbandaran Baharu dan Matlamat Pembangunan Mampan, lebih daripada hanya menjadi tuan rumah untuk WUF9, yang boleh menjadi contoh untuk negara-negara lain, dan memperagakan Malaysia sebagai sebuah negara yang progresif dan inklusif.


Badrul Hisham Ismail adalah Pengarah Program dan penyelidik di IMAN Research.

 

 



Golput Malaysia


by Afiq Mohd Noor
15 February 2018

 

Orang bercakap tentang pilihanraya di mana-mana. Di pusat membeli-belah, warong kopi, pejabat, masjid dan tandas-tandas awam. Rakyat terbanyak mula menimbang siapa yang patut kita pangkah – Barisan Nasional, PAS atau Pakatan Harapan? Namun yang paling menarik pada pilihanraya kali ini Malaysia menyaksikan suara-suara muda yang kecewa dengan pilihan sedia ada dan berkempen untuk merosakkan undi. Tagar undi rosak membanjiri media-media sosial. Di sana-sini orang mula bercakap tentang undi rosak. Persoalannya, kenapa undi rosak?

Di Indonesia, pengundi yang tidak berhasrat untuk mengundi lebih popular digelar ‘golput’ atau golongan putih. Presiden Abdul Rahman Wahid atau lebih mesra disapa Gus Dur adalah salah seorang yang menyatakan piihan peribadinya untuk golput sewaktu pemilihan presiden dan timbalan presiden pada pilihanraya umum 20 September 2004. Pendirian tersebut diambil Gus Dur untuk menzahirkan protes dan ketidakpuasan hati terhadap tindakan Komisi Pemilihan Umum (KPU) yang didakwa melanggar undang-undang negara dan tiada tindakan undang-undang yang diambil oleh badan-badan pentadbir perundangan seperti Mahkamah Konstitusi dan Mahkamah Agung terhadap pelanggaran undang-undang tersebut. Disebabkan marahnya Gus Dur, beliau melabelkan badan-badan yang bertanggungjawab mentadbir undang-undang itu sebagai ‘mafia peradilan’.

Secara peribadi, saya bukanlah penyokong gerakan golput di Malaysia dan sudah pastilah saya akan mengundi sewaktu pilihanraya umum akan datang. Tetapi sebagai seorang warganegara Malaysia yang beriman bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang dasar negara, saya percaya rakan-rakan yang memilih untuk golput berhak dan bebas berbuat sedemikian. Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan memberikan kebebasan kepada setiap warganegara untuk berekspresi dan berpendapat. Tidak ada apa-apa yang dapat menghalang golput dari menyuarakan hak mereka kecuali sekiranya Parlimen menggubal satu undang-undang menurut Perkara 10 (2) Perlembagaan Persekutuan yang mewajibkan warganegara Malaysia yang berusia dua puluh satu tahun untuk mengundi dan menjadi kesalahan di bawah undang-undang persekutuan sekiranya seorang warganegara tidak mengundi atau ‘menghasut’ orang ramai untuk tidak mengundi.

Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan memberikan hak kepada setiap warganegara Malaysia yang telah berumur dua puluh satu tahun dan berdaftar untuk mengundi di dalam mana-mana pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Rakyat (Parlimen) di kawasan yang mana dia bermastautin. Di dalam kes Yazid Sufaat & Ors melawan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia [2009] 3 CLJ 633, Hakim Mahkamah Rayuan Low Hop Bing menyatakan bahawa seorang pengundi mempunyai hak pada hari pengundian samada untuk mengundi secara sukarela atau memilih untuk tidak mengundi. Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang pilihanraya tidak mewajibkan atau menghukum pengundi-pengundi berdaftar yang memilih untuk tidak mengundi pada hari pengundian. Suruhanjaya Pilihanraya tidak mempunyai tanggungjawab atau kuasa untuk memaksa seorang pengundi berdaftar untuk mengundi pada hari pengundian.

 

Golput & Institusi Agama

Libang-libu golput ini bukan sahaja menarik perhatian para politikus, penganalisis politik rasmi dan tidak rasmi, ia juga turut menarik perhatian para agamawan. Di Indonesia misalnya, Majlis Ulama Indonesia (MUI) yang bermesyuarat di Padangpanjang pada 26 Januari 2009, Sumatera Barat memfatwakan bahawa umat Islam di Indonesia wajib memilih pemimpin yang beriman, bertaqwa, jujur, terpercaya, aktif, partisipatif dan memperjuangkan kepentingan umat. Memilih pempimpin yang tidak mempunyai ciri-ciri yang disebutkan atau tidak memilih sama sekali walaupun terdapat calon-calon yang memenuhi kriteria tersebut haram hukumnya.

Setarikan nafas yang sama, Mufti Wilayah Persekutuan melalui Bayyan Linnas siri ke-126 bertarikh 12 Februari 2018 menyatakan kecenderungan beliau untuk mengharamkan perbuatan merosakkan undi dan haram pada pandangan syarak bagi setiap warganegara yang beragama Islam untuk tidak mendaftarkan diri sebagai pengundi dan menjadi golput. Sudah tentu pandangan beliau mengundang kritik dan pujian dari orang ramai.

Saya tidak berhasrat membedah fatwa Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan dalam tulisan kali ini, walaupun saya merasakan ada beberapa isi penting yang boleh diwacanakan khususnya bagaimana kita bermuamalah dengan demokrasi. Demokrasi punya spektrum yang luas bukan hanya hitam dan putih. Namun menurut saya mengatasnamakan Tuhan demi memaksakan satu pendapat adalah tindakan yang sangat tidak wajar. Menjadi golput bukanlah delik kejahatan atau pelanggaran hukum, syariat dan demokrasi.

Ahmad Syafii Maarif, mantan Ketua Umum PP Muhamadiyah sewaktu ditanya oleh akhbar Kompas bersabit Fatwa MUI yang mengharamkan golput menyatakan – “Diimbau sajalah, jangan pakai aturan halal-haram. Kalau sudah pakai halal-haram sudah enggak bener itu, MUI jangan over-lah...,"

 

Afiq Mohd Noor merupakan penyelidik di IMAN Research. Dia sering mengikuti wacana politik tanah air di media sosial.

 

 



Beri Suara, Ikut Serta


by Lutfi Hakim
7 February 2018

 

“Menjengkelkan” - itu mungkin perkataan yang terbayang di dalam kepala apabila anda mendengar perkataan politik. Rasa mual yang terkait pula semakin dirasakan dengan aksi-aksi mencapub ahli politik seperti berselipar jepun dan bercaping menjelang tarikh pilihanraya. Janji-janji baru pula ditabur, seolah-olah yang lama sudah dilupakan.

Tidak hairanlah jika anda tertarik dengan saranan-saranan yang sedang panas di media sosial seperti #undirosak atau memboikot terus pilihan raya akan datang. Jika itu pilihan yang paling baik menurut anda, maka silakanlah lakukan. Asalkan ia hanya satu aksi dari penglibatan anda secara istiqamah di dalam demokrasi negara kita.

Di sebalik gerakan protes ini, kita perlu juga perhatikan apakah kehendak dan objektifnya. Rata-rata boleh dikatakan inisiatif ini bangkit daripada rasa kekecewaan terhadap keputusan Pakatan Harapan menamakan Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri, dan pada masa yang sama rasa tidak puas hati terhadap tindak-tanduk kerajaan Barisan Nasional sedia ada di bawah pimpinan Dato’ Sri Najib. Secara kasarnya, dua pilihan ini yang dilihat sama-sama bermasalah. Diumpamakan seperti memilih antara Pepsi dan Coca-Cola; jika dua-dua sama sahaja, mengapa perlu ambil kisah dalam pilihan raya yang mendatang ini?

Ya, ketidakpuasan hati ini boleh difahami, tetapi harus berhati-hati agar tidak kerana marahkan nyamuk, kita bakar kelambu. Sebelum apa-apa, seseorang individu itu sendiri harus jelas apa yang dia mahukan terhasil daripada proses demokrasi, dan daripada kesedaran itu, memikirkan apakah langkah-langkah dan alat-alat yang tersedia untuk digunakan. Pada masa yang sama idealisme juga harus dicairkan dengan kesedaran bahawa pragmatisme, atau sikap berkira, tidak dapat diasingkan daripada politik kepartian. Udara yang menjadi bahan bakar parti politik itu ialah sokongan warga, khususnya di dalam bentuk undian. Tanpa sokongan undi, parti-parti politik tidak dapat mendabik dada dan mengaku bahawa mereka mewakili keresahan dan kehendak masyarakat, apatah lagi menerima mandat mereka untuk membentuk sesebuah pemerintahan.

Pada masa yang sama, ada kesan apabila orang tidak keluar mengundi. Jika orang tidak keluar mengundi kerana rasa kecewa, sama ada dari golongan yang mahukan perubahan pemerintah, ataupun yang mahukan penerusannya, ia boleh dihitung sebagai satu undi untuk pihak lawan. Maka di sinilah terletak dilemanya - jika tidak keluar mengundi ia memberikan kelebihan kepada pihak lawan, tetapi jika keluar mengundi mesej kekecewaan terhadap kepimpinan tidak disampaikan dengan jelas. Maka, keputusan untuk mengundi atau tidak, dan jika ya, kepada siapa, haruslah ditimbang-timbangkan sebaiknya.

Namun boleh dikatakan dilema ini juga hanya jadi-jadian. Ya sudah tentu, semua tindakan ada risiko-risikonya yang boleh membawa kesan buruk kepada seluruh masyarakat, menurut perspektif masing-masing. Tetapi jika orang ramai hanya membataskan penyertaan mereka kepada pilihan raya, apa yang diharapkan dari undian tersebut juga besar kemungkinan tidak akan berlaku.

 

Mendalami Demokrasi

TPilihan raya itu salah satu cara untuk kita mengambil bahagian di dalam proses demokrasi negara. Ia mungkin jalan yang paling dikenali ramai, tetapi ia bukanlah satu-satunya kaedah untuk menghidupkan budaya demokrasi dan politik sihat. Tanggapan yang berpolitik ini hanya perkara yang perlu berlaku lima tahun sekali melalui peti undi, itu mitos yang diwarwarkan mereka yang berkuasa supaya status quo tidak terganggu.

Maka harus ditekankan sekali lagi bahawa pilihan raya hanyalah satu jalan untuk ikut serta di dalam proses demokrasi. Dan sudah tentunya bukan hanya satu daripada dua jalan untuk memperbaiki keadaan kita. Demokrasi itu budaya dan proses yang mempunyai ratusan pintu.
Walaupun pengamalannya di dalam negara kita tidak ideal, tetapi masih terdapat ruang untuk demos, iaitu warga, untuk membawa perubahan secara demokratik selain daripada pilihanraya.

Misalnya melalui penyertaan di dalam gabungan politik, sama ada dengan menjadi ahli parti sedia ada, membentuk parti baru, ataupun menyokong lingkungan bebas yang memperjuangkan isu-isu. Penyertaan di dalam pertubuhan-pertubuhan tersebut merupakan peluang menyumbang kepada pembentukan pemikiran dan perumusan polisi dan undang-undang di parlimen. Selain itu, penubuhan kumpulan pendesak (pressure groups) dan pelobi juga merupakan usaha untuk mempengaruhi penggubalan undang-undang dan tindakan undang-undang dengan melakukan kajian bebas, diskusi dengan wakil-wakil rakyat, dan penentuan agenda (agenda setting) di dalam media. Ini semua masih lagi termasuk di dalam proses demokrasi, dan sudah tentu ia juga perlu diawasi dan diselia sepertimana pilihan raya juga.

Ini belum disebut lagi, aktiviti-aktiviti aksi langsung (direct action) yang masih banyak perlu dilakukan di Malaysia. Sama ada aksi tersebut menyumbang dana, memberi pendidikan kesedaran tentang sistem demokrasi kita, melaporkan berita tempatan, mewujudkan kumpulan sukan dan rekreasi kampung, memberikan kelas tuisyen, dan lain-lain, ini semua ruang penyertaan yang harus difikirkan dan diisi, selain daripada undi, undi rosak, atau tidak mengundi di dalam pilihan raya. Kreativiti dan teknologi boleh digunakan di sini seperti yang telah dilakukan oleh organisasi seperti Swing Left, yang menggunakan algoritma untuk membantu golongan progresif di Amerika bertanding di kawasan bermajoriti tipis; More United yang menggunakan pendanaan masyarakat (crowdfunding) untuk menyalurkan sumbangan kepada calon-calon yang telah dikenalpasti konsisten memperjuangkan nilai-nilai tertentu; dan di Malaysia, Sinar Project yang membina pangkalan data memaparkan pertalian-pertalian yang wujud, termasuk di antara perbelanjaan kerajaan, kontrak yang dikeluarkan, dan ahli politik.

 

Politik Mesra Rakyat

Semakin kita dekat dengan tempoh berkempen sudah tentu isu mengundi akan semakin hebat diperkatakan, dan semua pihak akan cuba meraih sokongan terhadap agenda masing-masing. Namun janganlah kita terus taksub dengan undi tanpa memikirkan sisi-sisi lain proses politik yang penting untuk menghidupkan budaya demokrasi yang sihat di kalangan warga Malaysia.

Dengan memakmurkan demokrasi dan menjadikan ia sebati dengan budaya kita, barulah cengkaman parti-parti besar terhadap naratif politik kita dapat dilonggarkan. Biarlah ribuan organisasi bergerak, dan jutaan suara berbicara, supaya kita sedar dan dapat mengenal pasti pilihan-pilihan pemimpin, fikrah, polisi, amalan, dan model yang ada untuk kita pilih.

Satu kelebihan pilihan raya ialah kita dapat lihat kesan daripada aksi kita serta-merta apabila keputusan diumumkan, suatu ciri yang jarang ada di dalam cara penyertaan yang lain. Pada masa yang sama, elemen pengawasan berterusan, peningkatan kualiti wacana, dan gotong-royong pula susah disampaikan hanya dengan pilihan raya, maka kita perlu bertindak melangkaui undi.

 

Lutfi Hakim merupakan penyelidik di IMAN Research. Dia suka mengikuti perbincangan-perbincangan politik tanah air dan luar negara yang terkini di media sosial.

 

 



Ibu Bapa Rohingya Mulakan Langkah Membuka Sekolah, Menanti Budiman Malaysia Menyambung Bantuan


by Admin
22 Ogos 2017

 

Di balik jalanan dan deretan blok kedai di sebuah kawasan di Meru, Klang, tersembunyi sebuah madrasah, yang juga menjadi penempatan untuk anak-anak warga Rohingya.

Suasana di dalam kelas di sekolah berasrama Rohingya. Meru Madrasah Muiin Al-Islam yang diusahakan Persatuan Ibubapa Rohingya Islam (PERI) didirikan hampir setahun yang lalu. Menyewa tingkat atas sebuah lot kedai, madrasah ini menjadi tempat sekitar 72 anak warga Rohingya menimba ilmu, di mana 25 daripadanya menjadikan madrasah ini tempat tinggal mereka. Dan dari 25 anak ini, 15 darinya yatim, dan selebihnya dihantar ibubapa mereka untuk tinggal di sini mungkin atas faktor tidak berkemampuan menjaga mereka di rumah, atau faktor jarak yang jauh dari rumah.

Usia anak-anak ini sekitar 3-15 tahun. Ada beberapa anak-anak yang bersekolah pada waktu pagi di Rohingya Education Center (REC) Klang,dan pada waktu petangnya menyambung sesi pelajaran di sini. Namun, majoriti dari mereka hanyalah menjadikan madrasah ini sebagai tempat mereka menimba ilmu.

Di sini mereka didedahkan dengan ilmu al-quran, asas pembelajaran Islam, dan pelajaran asas akademik (membaca dan menulis. Namun perhatian kami mendapati penguasaan kebanyakan mereka masih di tahap sangat lemah). Sebahagian dari mereka sudah mula menghafal al-quran, dan dapat membaca al-quran dengan baik. Anak-anak ini dididik oleh 3 orang ustaz, dan seorang cikgu yang menjadi pengurus kepada madrasah ini.

Madrasah ini mempunyai satu ruang “dewan”, yang menjadi tempat mereka belajar, ruang solat ketika masuk waktu, dan ruang tidur ketika malam. Di samping itu, terdapat 2 buah bilik; satu bilik menjadi pejabat urusan; dan satu lagi bilik kecil menjadi ruang untuk ustaz tidur. Madrasah ini turut mempunyai sebuah dapur, dan dua bilik air, yang menjadi tempat anak-anak ini mandi, membasuh baju, dan sebagainya.

Dan sedihnya, kami dikhabarkan madrasah ini tidak dapat menerima bantuan zakat kerana status UNHCR mereka tak melayakkan mereka menerima zakat.

Untuk jangkasama pendek, kami merancang untuk menyediakan kemudahan asas yang mencukupi untuk anak-anak ini, dan jika berkemampuan untuk sekitar 130 keluarga Rohingya yang tinggal di sekitar madrasah ini. Kemudahan asas ini termasuklah bahan makanan, penjagaan diri, pakaian, dan sebagainya.

Untuk jangkamasa sederhana dan panjang, kami cuba memfokuskan kepada sudut pendidikan. Beberapa pensyarah dari UIA dan UITM yang turut bersama ketika lawatan ada menyatakan persetujuan untuk membimbing anak-anak di sini dan menyediakan modul pembelajaran secara berkala, yang mungkin akan dijalankan sekitar seminggu sekali. Dan di sini kami memerlukan sukarelawan yang sudi turut sama dalam projek ini untuk membantu mendidik mereka. Hal ini dilihat mendesak terutamanya buat guru wanita, yang dilihat sangat perlu untuk menjadi figura ibu buat anak-anak ini, dan menjadi rujukan buat pelajar perempuan sekiranya mereka mempunyai persoalan dan masalah berkaitan isu kewanitaan.

Melihat keadaan yang tidak kondusif untuk pembelajaran, kami turut merancang untuk mencari satu lokasi lain yang lebih sesuai. Menyedari hakikat sukar bagi mereka untuk pulang kembali ke negara mereka (walau mereka bersungguh menyatakan satu hari nanti mereka akan pulang kerna rasa cinta pada tanah air), sebuah lokasi yang lebih sesuai dilihat sangat perlu memandangkan madrasah ini menampung jumlah pelajar yang agak ramai, dan pelajar perempuan terutamanya terdedah kepada kemungkinan gangguan.

Kami cuba merancang untuk menjadikan bantuan ini bukan sekadar “one-off’, tetapi secara berterusan. Untuk itu, diharap pihak yang ingin menyumbang, tidak kiralah dari sudut kewangan, tenaga, atau idea dapat bergabung bersama kami supaya segala bantuan dapat diberikan secara lebih tersusun dan teratur.

 

 



Berjuang Lulus Universiti Untuk Rebut Peluang Dari Anak Hartawan Tak Habis Sekolah


by Admin
18 Ogos 2017

 

Keturunan orang bisnes lebih berkebolehan berniaga, kata orang. Adakah ini kerana mereka sejak lahir sudah ada kebolehan itu atau mereka terlebih dahulu menerima kemudahan dari kejayaan ibu bapa mereka?

Penemuan dari sebuah kajian baru menggambarkan satu ciri yang umum dikongsi di kalangan usahawan ialah akses kepada modal kewangan – sama ada ia dari wang keluarga, warisan, ataupun status dan kabel yang memudahkan pengumpulan modal dan kestabilan kewangan.

Kajian yang dilakukan oleh National Bureau of Economic Research itu mengkaji perlakuan mengambil risiko di dalam pasaran saham dan mendapati yang factor persekitaran, dan bukan genetic, yang lebih mempengaruhi perangai pelabur. Atas penemuan ini, mereka membuat andaian yang ketegalan terhadap risiko itu dipupuk dengan masa, dan bukan sesuatu yang wujud dari saat mereka lahir.

Pandangan ini dikuatkan lagi dengan data dari Global Entrepreneurship Monitor yang mengatakan 80% modal untuk bisnes baru datang dari simpanan pribadi dan kawan-kawan dan keluarga.

Kecekalan menghadapi kegagalan sudah pasti satu sikap yang mustahak untuk mendapatkan kejayaan, dan kita lihat ramai usahawan ternama hanya berjaya setelah mencuba berkali-kali. Namun, jika anda ada kestabilan kewangan dalam hidup anda, dan keperluan asas terpelihara, ia lebih mendorong seseorang itu untuk bertindak kreatif dan mengambil risiko.

Kita perlu sedar hal ini kerana kita sering disogok dengan fahaman yang pendidikan dan ijazah akan memberi kita kejayaan, tetapi kita tidak sedar ada aspek yang terselindung yang memberi kelebihan kepada golongan yang lebih berduit.

Kegiatan anak-anak orang kaya yang berbelanja secara amat membazir seperti yang dipopularkan akaun instagram ‘Rich Kids of Instagram’ hanya gambarkan salah satu kelebihan dilahirkan dalam persekitaran modal mudah didapati

Dari segi statistic, data dari US menunjukkan bahawa apabila seorang pelajar dari miskin berjaya mendapatkan ijazah, mereka hanya meraih gaji yang lebih kurang dengan seorang anak orang kaya yang tidak pun habis sekolah menengah.

Dan bila anak orang kaya itu mempunyai kelebihan dari segi pencapaian akademik, mereka jauh lebih ramai akan menjadi pengurus syarikat, menentukan corak pemikiran akademik, dan membuat polisi. Kesannya juga melimpah kepada pembahagian masyarakat, semakin tinggi ketaksamaan pendapatan, semakin terpisah orang kaya dari orang miskin dari sudut penempatan, persekolahan, malah internet yang digunakan cara berbeza.

Kalau di Cina, kerana kejelekan perangai anak-anak golongan plutocrat sudah melampau-lampau, kerajaan mereka menubuhkan program khas untuk memimpin generasi muda yang kaya untuk menggunakan dengan sebaiknya kekayaan mereka, dan akhlak yang baik setelah menjadi kaya.

Sedangkan buat orang miskin, sebarang kesalahan yang dilakukan akan menyebabkan hilangnya peluang untuk mendapat kehidupan yang stabil. Ini juga dapat dilihat di dalam sebuah kajian yang dilakukan John Hopkins University di mana mereka mendapati bahawa pengunaan alcohol dan dadah tertinggi di kalangan komuniti kulit putih yang kaya, tetapi mereka masih mempunyai mobiliti social yang meningkat.

 

 



Why We Need To Address The Bumiputera Economy


by Dina Zaman
1 August 2017

 

Some time last month, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) released their report on the socio-economic status of the Malays.

I chose to study MTEM’s study because for one, its members are Malay entrepreneurs and NGOs who face real-life issues of entrepreneurship and income-expenses. (No less important is the Khazanah Research Institute’s The State of Households 2014 Study. For this column, however, let us focus on MTEM’s study first.)

The Bumiputera Economy is not just a Malay concern, it is a Malaysian one, given the sheer size of the Malay population. Let’s look at some of MTEM’s findings:

Young Bumiputeras who have attained post-secondary education make up the largest proportion of the unemployed, compared with peers from other ethnic groups. From a low of 27.6% in 1982, unemployed Bumiputera graduates reached 70.3% of all unemployed graduates in 2010. Bumiputeras make up 82% of workers with no formal education (although they are proportionately among those with primary (67%), secondary (64%) and tertiary (66%) education). 70% of all jobless graduates in 2010 were Bumiputera. Bumiputeras own only 25% of the total value of homes in Malaysia (compared with non-Bumiputeras who own two-thirds of the national value). For every RM1 of wealth owned by the Chinese, Bumiputeras and the Indians own 65 sen and 68 sen, respectively. Malaysians must no longer repeat its choir: that the Malays are truly lazy natives. We need to ask ourselves very urgently as to how a dominant ethnic community has not been able to cross over to the middle class.

An old essay but nevertheless still relevant is New Mandala’s article which focused on this.

How is it that we are producing unemployable graduates, of which a high number are Malays?

These numbers are jarring to me, because I have seen first-hand how young Malays now are disadvantaged by a lack of skills, language and communication power and confidence. While I have met many, many young Malays who are entrepreneurial, intelligent, smart and will insist on talking to me in English only, because they want to perfect their second language, I have also met more, who can’t even speak standard Bahasa Malaysia.

I was on the Komuter train one evening with the columnist and fellow compadre, Nicholas Chan, when we faced a young Malay boy, dressed as trendily as he could, speaking in what I term as “SMS-Rempit” language. His conversation with the friend he was talking to on his mobile phone were guttural squawks, made up of “Awk” (Aku) “Gi” (Pergi), “Na tu” (Sana tu) *and a lot of hems.

I have met this kind of young boys before. Somewhere in Sungai Buloh, there’s a mechanic my family and I go to service our cars, and the boys, sporting pink and green Mohawks, tend to our cars. They are very helpful boys, and rather sweet, but I have to ask the foreman for help. They smile and joke with each other a lot, but in a Malay language no one can fathom.

And there are the street kids I hung out with when I volunteered at a shelter a few years back. Most of them were smart, but rendered “dumb” by an education system that is already stressed and bloated. The 15-year-olds I met could not even write a simple paragraph in Bahasa Malaysia.

I have a favourite anecdote I tell friends, when I want to impress upon them the severity of the situation: there was this kid who would write Surah Al Ikhlas beautifully in Arabic script, but did not recognise the Arabic alphabets. He wrote and recited the Surah by rote.

I met Shah Sovi, a business coach who works with young Malay entrepreneurs and is an adviser for Pemikir (Pertubuhan Pemikir Agenda Watan Malaysia). Shah is a sharply dressed business mentor and judging by his Facebook statuses alone, Shah has his hands full, trying to encourage and admonish young Bumi entrepreneurs. One issue he is particularly concerned about is non-performing loans (NPL) among the Malays.

“While the government has been talking about the Bumiputera agenda, how many of such initiatives actually falls into place and produces results? The high numbers of NPL for government soft loans continues to grow and that alone reflect the ineffectiveness of implementation of the Bumiputera agenda.

“The mechanism of such policies must be of adequate standard; not like the current KPI which focuses on disbursement and numbers of events /programmes conducted. The end result is crucial to bring the Malay up to the game.

“The grievances at the grassroots has long fallen on deaf ears and most of such programmes that the government are proud of are no more than a get together event to show that… hey we are doing something. Look into the numbers from all government agencies. Consolidate them and address them as a whole before the whole issues blows the country apart in many ways than we can imagine,” he said.

Why is this a Malaysian problem, you may ask? It is because we are already seeing the cracks now, but in two to five years, the impact of a failed Bumiputera economy will hit us all socially, psychologically and emotionally.

Even if there is a change in the government, we will not be able to clear up the weak Bumiputera economy; the change will be generational. If there are changes, it will be a case of a quick Band-Aid (plaster).

In my casual discussions with friends, we talked about how the previous NEP and its contemporaries fail, especially young Malays now, simply because very little of current realities are taken into consideration. We are after all, a wealthy nation: many Malays are now middle class.

But we conveniently brush aside that the Malay middle class is relatively new and a minority, and we are struggling to keep afloat. (Please see an old column I wrote about which describes this situation).

Whatever affirmative actions and policies we have, however sincere and good they are, are not helping the Malays now who need them. Instead they are being. Now, while we argue over skirt length, whose Islam is better, which race is more hardworking, these Malays that I am writing about are losing in every way, every second.


 

 

 

 

 

 

 

 

FEATURES OP-EDS CONVERSATIONS VIDEOS

 

2018  ©  The Affair • An occasional discussion on society, religion & politics