FEATURES OP-EDS CONVERSATIONS VIDEOS

 

> FEATURES



Jihad Terlarang: Gerakan Militan dan Peranan Pesantren Merawat Radikalisme – Bahagian 1


by Admin
8 October 2017

 

Wawancara bersama Mataharitimoer

Mohamed Imran Taib is known among the activist circles in Singapore and Malaysia as a public intellectual, and bridge builder in multicultural Singapore. He is an active member of The Reading Group, Singapore.

The Affair is serialising his interview with a former radical, in Bahasa Melayu.

Persoalan radikalisme agama sering mendapat perhatian di dalam wacana Islam kontemporari serta menjadi soroton di media-media massa. Tidak kurangnya, isu ini menjadi pergumulan politik, sama ada di peringkat lokal mahupun geopolitik. Namun, suara para aktivis gerakan militan jarang didengar melainkan apa yang dipapar oleh agensi keselamatan dan kepolisian, ataupun dari para pemimpin gerakan yang mengeluarkan ancaman dan pernyataan ‘jihad’ terhadap apa yang mereka anggap sebagai ‘musuh-musuh Islam’. Di sebalik keriuhan wacana radikalisme agama, masyarakat secara senyap sedar akan penyimpangan ideologi garis keras yang menyisihkan sisi damai dan semangat toleransi di dalam agama Islam itu sendiri. Namun, tidak ramai yang mungkin sedar akan persoalan bagaimana ideologi garis keras dapat menular di dalam masyarakat tanpa disedari sehingga berjaya menarik segelintir anak-anak muda untuk melaungkan ‘jihad’ (dalam erti ‘perang’) terhadap apa yang mereka anggap sebagai aspek-aspek ‘jahiliyah’ di dalam masyarakat – dari konsep ‘sekularisme’ kepada ‘dominasi Yahudi’ hingga kepada ‘ancaman Kristian’. Matlamat gerakan garis keras ini tetap satu: meruntuhkan orde pemerintahan sekarang yang dianggap ‘kafir’ dan mewujudkan ‘daulah islamiyyah’ (yang ditafsirkan sebagai ‘Negara atau Pemerintahan Islam’).

Semenjak beberapa tahun yang lalu, beberapa suara mantan aktivis garis keras sudah mula dimunculkan melalui bentuk memoir ataupun biografi. Namun, kebanyakannya di dalam bahasa Inggeris dan memenuhi pasaran global. Antaranya ialah buku The Islamist (2007) oleh Ed Hussain. Suara-suara mantan aktivis ini penting di dalam memahami proses radikalisasi seseorang – dari aspek ideologi kepada sudut psikologi, sehingga ketegangan jiwa dan kekacauan minda yang akhirnya membuat dia keluar dari gerakan militan dan kembali hidup di tengah-tengah masyarakat secara damai.

Pada 25 Julai 2013, The Reading Group telah menemui seorang mantan aktivis gerakan militan ‘Darul Islam’ untuk diwawancara. Beliau ialah penulis dan blogger yang menggunakan nama pena Mataharitimoer, atau singkatnya MT. Lahir pada tahun 1971 di Jakarta, MT (nama sebenarnya, Eddy Prayitno) telah menulis kisah perjalanan hidupnya dalam bentuk novel yang berjudul Jihad Terlarang: Cerita Dari Bawah Tanah. Novel ini mengisahkan seorang watak bernama Royan yang menyimpan dendam terhadap Tuhan dan tentera Indonesia atas kematian bapanya di dalam peristiwa Tanjung Priok. Akhirnya, Royan bergabung di dalam gerakan bawah tanah yang dikenali sebagai ‘Darul Islam’ dengan cita-cita mendirikan Negara Islam dan menggulingkan pemerintahan Indonesia yang dianggap sebagai ‘taghut’ atau ‘berhala’. Namun, Royan mula sedar bahawa gerakan militan ini tidak seindah apa yang difikirnya. Kerosakan moral di kalangan pemimpin atasan, termasuk korupsi dan penindasan terhadap anggota-anggotanya, membuat Royan meninggalkan gerakannya.

Kisah Royan merupakan pengalaman benar yang dilalui MT. Selepas meninggalkan gerakan ‘Darul Islam’, penulis hidup bergelandangan tanpa arah tujuan. Akhirnya, beliau menemukan kembali kedamaian melalui sebuah pesantren dan tokoh kiyainya (Pesantren Darul Uloom di Bogor) yang merawat jiwanya dan mengenalkannya kembali kepada Islam yang sebenarnya – Islam yang damai, ramah dan penuh toleransi. Dari situlah beliau mula menuangkan segala pengalaman hidupnya melalui tulisan, sehingga terbitlah buku Jihad Terlarang pada tahun 2007.

Berikut ialah wawancara yang mengisahkan pengalaman jujur hidup MT yang menjadi latar buku Jihad Terlarang.

 

*****

 

Boleh ceritakan sedikit mengenai konteks buku ‘Jihad Terlarang’ ini?

MT:        Awalnya, beberapa kisah dari buku ini saya tulis di blog. Kemudian, ada seorang perwakilan dari penerbit yang menghubungi saya. Dia ingin saya menuliskan ini dalam bentuk buku. Itu tahun 2005. Akhirnya, sekitar tahun 2007, buku ini terbit – tetapi dari penerbit yang berbeza dari yang meminta. Saya sudah tandatangan perjanjian penerbitan dengan penerbit awal, tetapi ketika mahu layout, ketua penerbit menghentikan projek ini. Menurut informasi yang saya terima dari editornya, mereka takut ada kesan negatif buat perusahaannya. Ini kerana buku ini akan membuat ramai orang marah, terutama kelompok radikal.

Buku ini merupakan pengalaman peribadi saudara MT. Apakah cerita disebaliknya?

MT:        Di dalam buku ini, saya menciptakan watak utama yang bernama Royan. Beliau adalah watak yang sebenarnya mewakili pengalaman saya, selama lebih kurang sepuluh tahun bergiat di dalam gerakan ‘Darul Islam’ (DI). DI adalah sebahagian dari gerakan ‘Negara Islam Indonesia’ (NII). Saya mula bergiat pada tahun 1988 sehingga saya keluar dari DI pada tahun 1998. Jadi, bagaimana proses watak utama bernama Royan ini terekrut – konflik batin yang dialaminya ketika baru masuk, sehingga dia dapat menerima ajaran baru, dan ketokohannya meningkat atas kebolehannya mendekati dan merekrut orang lain, sehingga dia masuk ke tingkat tinggi, iaitu membuat dasar-dasar pergerakan, dan akhirnya dia menyingkirkan diri – ini semua saya ceritakan. Hujungnya, watak ini menyingkirkan diri kerana dia melihat banyak kontradiksi di dalam kelompok dia. Banyak hal yang membuat dia ragu sehingga dia memerlukan empat tahun (semenjak keraguannya bermula) untuk dia benar-benar merdeka dan keluar dari gerakannya.

Saya tertarik dengan proses merekrut itu, terutama apa yang dilalui oleh watak Royan ini.

MT:        Kalau dalam kes Royan, dia terekrut kerana dia melihat persaudaraan yang akrab dengan orang-orang yang baru dia kenal di dalam kelompok remaja masjid. Latar Royan ialah dia seorang anak jalanan dan juga tidak mempunyai hubungan baik dengan keluarganya sendiri. Jadi, dia seperti menemukan keluarga yang baru. Saat itulah, apa yang dia terima dari keluarga baru itu dianggap sebagai suatu kebenaran. Selanjutnya, Royan dan teman-temannya melakukan recruitment yang disesuaikan dengan objek atau sasarannya – dari pelajar sekolah menengah pertengahan (SMP), sekolah menengah atasan (SMA) hingga ke para mahasiswa, pedagang dan juga preman (orang jalanan). Semua cara dan pendekatannya berbeza-beza. Sebagai contoh, jika ingin merekrut preman, kita tidak akan membahaskan dalil-dalil agama; kita akan berbicara secara mudah sahaja. Saya akan mengambil kayu dan membuat garisan di tanah. Di bahagian kiri, ditulis ‘kafir’. Dan dibahagian kanan ditulis ‘Islam’. Maka ditanyakan, ‘Nah, yang mana anda pilih?’ Tentunya tidak ada orang yang mahu memilih ‘kafir’. Dari situ, kita mengajaknya mengambil bai’ah (perjanjian) untuk berjuang dengan nyawa untuk Islam.

Tadi, anda mengatakan bahawa setelah bergiat di dalam kelompok ini, anda melihat adanya kontradiksi. Apakah kontradiksi-kontradiksi ini?

MT:        Yang pertama dan yang paling terusik, kita menyedari bahawa tugas utama kita adalah menegakkan din-ullah, iaitu ‘agama Allah’ di muka bumi. Itu adalah sebuah cita-cita yang mulia dan suci. Tetapi, pada kenyataannya, kita sering melihat para pemimpin gerakan melakukan hal-hal yang sangat bercanggah dengan tujuan mulia itu. Contohnya, korupsi. Dan juga bagaimana mereka bersikap seperti diktator terhadap jemaahnya sendiri dan tidak memberikan kebebasan terhadap wanita untuk memilih calon suami. Wanita sering dikekang dan harus mengikuti lelaki. Buat saya, itu kurang memuaskan kerana menurut saya, wanita itu mempunyai haknya sendiri, termasuk memilih calon suaminya. Di dalam konteks kami dahulu, wanita itu harus menikahi lelaki yang dipilih walaupun beliau tidak menyukai calon suaminya itu – kerana itu sudah menjadi perintah dari atasan… Jadi secara jujurnya, kehidupan para anggota gerakan sering ditindas oleh atasan secara sewenang-wenangnya.

Bagaimana dengan ideologi gerakan terhadap Republik Indonesia, termasuk persoalan penegakan negara Islam?

MT:        Pada mulanya, saya keluar dari gerakan tersebut bukan kerana saya mencintai Pancasila atau menolak ideologi negara Islam. Saya masih tetap percaya pada waktu itu. Tetapi apa yang membuat saya keluar adalah kerana saya melihat moral mereka yang sudah rosak dan hancur. Jadi, saya keluar bukan kerana sedar secara ideologi, tetapi atas dasar moral.

Apakah ada perubahan di dalam pemikiran ideologi setelah kamu keluar?

MT:        Ya, setelah itu, perjalanan saya mungkin terpengaruh dengan buku-buku yang saya baca, yang membuat saya berubah menjadi lebih moderat. Lama-kelamaan, saya melihat bahawa ternyata kita tidak perlu menghancurkan Republik Indonesia dan menggantikan dengan konsep negara yang kita sendiri belum tahu bentuknya seperti apa. Saya sedar kita hanya merupakan orang yang tahu merekrut sahaja tanpa memahami persoalan negara dan masyarakat. Saya sendiri ragu akan kebolehan teman-teman underground dan kelompok radikal untuk mengelola negara. Mungkin sahaja negara Indonesia akan menjadi lebih rosak jika dikelola oleh mereka. Itu yang saya alami secara konflik jiwa. Akhirnya, sekian tahun, saya mula berdamai dengan diri sendiri, saya berdamai dengan negara Indonesia, dan saya berdamai dengan lingkungan sekitar saya. Saya mulai cair dan menjadi sebahagian dari masyarakat Indonesia.

Boleh ceritakan apa yang terjadi ketika kamu keluar dari Darul Islam dan sebelum kamu ketemukan kedamaian hati melalui Islam yang ramah dan berbeza dari apa yang kamu pelajari dari golongan radikal?

MT:        Waktu saya meninggalkan ‘Darul Islam’, saya memasuki satu fasa hidup di mana saya menjadi seperti ‘anti-Islam’. Waktu itu, saya kembali ke kelompok preman kerana masa lalunya, saya juga seorang anak jalanan. Saya melihat teman-teman preman ini, hampir setiap malam akan mengunjungi pusat pelacuran dan mabuk-mabuk. Saya sendiri tidak minum dan tidak mencari pelacur; saya hanya menemani mereka di luar sambil merokok. Saat itu, saya di dalam kondisi sudah tidak percaya kepada Tuhan. Tetapi, kerana sering bergaul dan duduk di situ, lama-kelamaan, saya berfikir: kenapa saya tidak melakukan perkara (iaitu, mabuk dan melacur) seperti teman saya? Di situ, saya menyedari, mungkin kerana di hati saya masih ada Tuhan. Maka Tuhanlah yang melindungi saya untuk tidak menjadi seperti teman-teman saya itu. Jadi, saya simpulkan: Oh, saya menemukan Tuhan di tempat pelacuran! Di tempat maksiat, saya mengenal kembali bahawa Tuhan itu wujud! Hari kemudiannya, saya pulang dan solat… Saya tidak lagi sakit mendengar azan, tidak seperti sebelumnya.

 

Nah, tetapi, mungkin apa yang saya lalui tidak harus sama dengan orang lain. Pengalaman saya tidak dapat kita generalisasikan, walaupun mungkin ada orang lain yang mengalami perkara yang sama dengan saya…

Boleh lanjutkan: bagaimana kamu merasa damai kembali selepas mengalami kekecewaan dan sikap anti-Islam itu kerana merasa dibohongi, dan akhirnya keluar dari kelompok radikal?

MT:        Saya mendapatkan kedamaian itu dari realiti kehidupan. Saya melihat bagaimana orang-orang biasa menjalani hidup: sebuah keluarga yang harmoni, seorang ibu yang bekerja untuk memberi makan kepada anaknya, dan sebagainya. Buat saya, mereka itu lebih nyata. Di Indonesia, majoritinya Muslim. Itu mempengaruhi saya dan saya berfikir bahawa lebih baik menjadi Muslim seperti mereka – tidak perlu memikirkan perang, revolusi – cukup untuk hidup biasa sahaja, menjalani ibadah seperti biasa, penuhi kewajiban terhadap anak dan isteri seperti biasa, bertetangga dengan baik… Jadi, melihat masyarakat inilah yang secara perlahan-lahan, membuat saya berubah dan berdamai.

Pada satu sisi, kamu melihat realiti kehidupan yang mendamaikan kamu. Bagaimana pula peranan agama, seperti apa yang diajar oleh kitab suci al-Qur’an? Apakah itu juga memainkan peranan, iaitu secara teologinya?

MT:        Secara teologi, saya mendapatkannya dari pesantren, setelah saya keluar dari ‘Darul Islam’. Pesantrenlah yang memberikan saya banyak masukan tentang dasar-dasar keislaman. Ketika saya sedang mencari Islam secara teori dan akademik, pesantrenlah yang memainkan peranan – terutama ketika saya mahu mempelajari ayat-ayat Tuhan. Dari situ, pesantrenlah yang memberikan pemahaman yang baik dan benar. Tetapi, peratusannya mungkin kecil berbanding apa yang saya dapatkan dari kehidupan.

Apakah dapat disatukan proses seperti ini, di mana apa yang dipelajari secara formal di kelas-kelas agama, seiringan dengan apa yang dilihat dan dipelajari dari realiti kehidupan?

MT:        Saya seorang yang sedari kecil, belajar melalui dialog. Ijazah saya hanya sekadar SMP (sekolah menengah pertengahan). Saya tidak pernah berkuliah di universiti. Tetapi, dahulu, saya pernah ke kampus-kampus universiti untuk berdiskusi dengan para mahasiswa dan para pensyarahnya. Saya juga akan beli buku untuk dibaca dan dipelajari; dan apa yang saya tidak faham, akan saya tanyakan. Saya tidak punya wang untuk memasuki universiti. Melalui proses dialog, saya belajar dan saya akan tapis informasinya. Menurut saya, kebenaran apa pun, ianya harus diuji. Dan diuji di mana? Di realiti masyarakat. Jadi, apa yang saya dapatkan dari kiyai, misalnya, saya akan persoalkan: Pak Kiyai mengatakan ‘A’ tetapi saya lihat ‘B’ di masyarakat. Dan Pak Kiyai akan terpaksa menjelaskan lagi sehingga saya benar-benar puas dengan ‘A’ dan ‘B’ yang tidak mempunyai jurang antara teori dan kenyataan.

 

Satu contoh. Ketika kiyai menceritakan mengenai toleransi dan Islam sebagai agama universal, saya harus menguji itu. Bagaimana? Saya akan bergaul dengan teman-teman saya dari kelompok berbeza keyakinan seperti Nasrani, Hindu dan yang beragama Buddha. Saya akan bersahabat dengan mereka dan berbicara mengenai perdamaian; di situlah saya melihat bahawa pada dasarnya, keinginan kami (untuk berdamai) sama. Barulah saya merasakan apa yang dikatakan kiyai itu terbukti di tingkat realiti kehidupan. Pak Kiyai sendiri tidak pernah memprotes ketika dia tahu saya sedang mengunjungi biara (monastery), gereja ataupun kuil. Kiyai tidak pernah marah sama saya.

Buat saya, kiyai ini mempunyai pandangan yang sangat luas – sama seperti Gus Dur (Abdurrahman Wahid). Malah, kiyai saya mengagumi Gus Dur. Beliau juga dekat dengan tokoh-tokoh berjiwa besar seperti Nurcholish Madjid. Oleh kerana pergaulannya luas, pandangan beliau lebih bijaksana. Saya simpulkan begitu.

Dalam perjalanan saya, ketika saya melihat sesuatu yang berbeza dengan lebih dekat, saya akan mendapatkan bahawa ternyata anggapan orang lain terhadap orang yang buruk ini, salah. Contohnya: pernah orang ramai mengatakan orang Kristian itu jahat terhadap orang Islam. Saya datang kepada teman-teman saya yang beragama Kristian, tetapi mereka itu sangat baik – sehingga saya dapat menumpang solat di bilik mereka. Mereka sehingga menyediakan ruang untuk saya solat. Ini satu contoh bahawa orang Kristian tidak jahat, malah mereka begitu toleran. Kalau mereka begitu toleran, kenapa kita tidak? Itulah realiti yang saya temukan di ruang kehidupan.

 

Ke Bahagian 2 | Bahagian 3

 

Ini adalah pendapat pengarang dan tidak semestinya mewakili pandangan The Affair.



 

 

 

 

 

 

 

FEATURES OP-EDS CONVERSATIONS VIDEOS

 

2017  ©  The Affair • An occasional discussion on society, religion & politics